suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Leftenan, kapten TUDM antara enam didakwa edar 96.2 kg dadah di pangkalan udara

Kesemua tertuduh dihadapkan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

TIGA pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah disyaki methamphetamine seberat 96.2 kilogram (kg).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Foyer Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor, pada pukul 6.50 petang, 17 November lalu.

Tiga pegawai TUDM terbabit ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33, Leftenan Muhammad Arif Fauzan, 27, dan Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34.

Tiga tertuduh awam pula ialah Tan Sui Seng, 48, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28, dan Afifah Amdas, 34.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 96.2 kg tanpa kebenaran di bawah undang-undang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar, Mohd Fairuz Johari dan Nur Amirah Zahari.

Amir Ariffudin diwakili peguam Arif Azmi, Johan Radzi dan Raqib Osman, manakala Muhammad Arif dan Muhammad Amirul masing-masing diwakili Muhammad Amin Abdullah dan Alif Ahmad Tarmizi.

Sui Seng pula diwakili peguam Mohd Arif Rafin.

Mahkamah menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan serahan dokumen.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan enam daripada 13 individu yang ditahan berhubung kegiatan disyaki menyeludup dadah menggunakan aset ketenteraan TUDM akan didakwa.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, manakala tujuh lagi suspek akan dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Pada 17 November lalu, tujuh anggota dan pegawai TUDM ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan bahan disyaki dadah seberat 96.6 kg di Pangkalan Udara Subang.

Panglima TUDM, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dilaporkan berkata, mereka terdiri daripada lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.

Artikel Lain